Oct 27, 2024 - FASHari ini, Selangor FC akan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) FC dalam saingan Liga Super 2024/25 di Stadium MBPJ jam 8:15 malam.
Pasukan kehilangan beberapa pemain penting atas faktor kecederaan tetapi Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, percaya akan kualiti yang dimiliki kesemua pemain Gergasi Merah.
“Fokus beralih kepada perlawanan malam ini selepas aksi ACLTWO 2024/25 tempoh hari. Para pemain telah menggunakan peluang yang diberikan dengan baik, mempamerkan kualiti yang mereka miliki, begitu juga untuk perlawanan pada malam ini. Kami juga telah mengenal pasti pemain-pemain yang boleh beraksi, hasil daripada kerja keras Doktor dan pasukan fisioterapi, beberapa pemain sudah mula dapat beraksi,” menurut beliau.
Bagi keberadaan pemain, Noor Al-Rawabdeh tidak akan bersama pasukan untuk jangka masa yang lama kerana mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL). Manakala, Mukhairi Ajmal, Safuwan Baharudin dan Alvin Fortes sudah pun berada di fasa terakhir pemulihan.
Pihak pengurusan Selangor FC percaya pasukan akan berikan sepenuhnya untuk perlawanan malam ini. Kami sentiasa di belakang skuad Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!